Segala pujian hanya kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Selawat dan salam yang tidak pernah terputus kepada Nabi Muhammad saw , kaum keluarga serta para sahabatnya.
Rentetan untuk kita menggapai Mahabbah Rasulullah yang akan menjadi wasilah kepada kita untuk meraih cinta dan redha Allah SWT, kita harus dahulu mengenal dan menyayangi orang-orang yang dikasihi baginda.
Pada pos kali ini, Pelima Media mahu berkongsi serba serbi tentang keimanan Abu Talib , bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang amat mengasihi baginda.
Acapkali apabila ditanya kepada umum tentang keimanan Abu Talib, ramai akan mengatakan bahawa Abu Talib bukan mukmin.
Namun, fakta ini tidak benar sama sekali.
Kami akan kongsikan bersama agar dengan input ini, kita dapat menjauhkan diri kita daripada menyakiti Nabi Muhammad saw dengan menyakiti orang yang dikasihi baginda.
Dan sebelum kita bercerita lebih lanjut, mari kita betulkan fahaman kita sebentar :)
Diriwayatkan dari Al-Thabrani dan AL- Thabrani dan Al-Baihaqi, bahawa anak perempuan Abu Lahab (saudara sepupu Nabi saaw ) yang bernama Subai’ah yang telah memeluk Islam datang ke Madinah sebagai salah seorang Muhajirin, seseorang berkata kepadanya : “Tidak cukup hijrahmu ini kesini, sedangkan kamu anak perempuan kayu bakar neraka” (menunjuk surah Allahab). Maka ia sakit mendengar kata-kata tersebut dan melaporkannya pada Rasulullah SAW. Mendengar laporan sedemikian rupa, Rasulullah menjadi murka dan baginda naik di atas mimbar dan bersabda:“Apa urusan suatu kaum menyakitiku, baik dalam nasabku (salahsilahku) mahupun sanak saudaraku. Barang siapa menyakiti nasabku serta sanak kerabatku, maka telah menyakitiku dan barang siapa yang menyakitiku, maka dia menyakiti Allah SWT. "Berbalik kepada kisah keimanan Abu Talib yang dikatakan kafir. Namun, sebelum itu ada beberapa soalan ;
1. Sekiranya anda mengatakan Abu Talib itu seorang kafir, mengapa beliau mempunyai pendirian yang sangat kuat terhadap agama yang dibawa oleh anak saudaranya, Nabi Muhammad SAW ?
2. Sekiranya Abu Talib itu kafir adakah beliau akan secara sukarela dan berhempas pulas membela prinsip pendirian agama Nabi Muhammad sedangkan itu amat bertentangan dengan 'agamanya' ?
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya (mengutuknya) didunia dan diakhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan (Q.S. 33:57)”. “Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih(Q.S. 9:61)”
**
Abu Talib memang tidak menyatakan keimanan beliau di hadapan umum kerana sekiranya beliau berbuat demikian, maka kuasa beliau untuk membela Nabi Muhammad pasti tidak utuh.
Sebaliknya , beliau menyembunyikan keimanan agar kaum Musyirikin tidak merasakan Abu Talib sebagai seorang yang harus dimusuhi. Dengan demikian, kewibawaan Abu Talib dalam kaca mata tokoh-tokoh Quraisy akan kekal sebagai seorang yang dihormati dan disegani.
Justeru, beliau dapat menekan perlawanan mereka (Quraisy) terhadap Rasulullah SAW.
Memang pada zahirnya, Abu Talib tampak seagama dengan mereka tetapi apa yang tersemat didalam hati beliau hanya Allah yang tahu.
Setiap mukmin pasti tidak dapat menafikan bantuan yang telah dihulurkan oleh Abu Talib untuk Rasulullah dan juga para sahabat baginda. Abu Talib memainkan peranan besar dalam melindungi dan membela agama Islam. Dek kerana itu, beliau sanggup menghadapi sebarang kesulitan demi melindungi anak saudara yang dikasihinya.
Sekarang ada lagi soalan:
Setelah Abu Talib menunjukkan pengabdian dan jasa-jasa beliau terhadap perkembangan syiar Islam adakah beliau wafat sebagai kafir atau musyrik tanpa ada sedikitpun iman di dalam hatinya ?
Terdapat satu kisah dimana Nabi Muhammad SAW ditomah oleh Arab Quraisy apabila baginda mengajak Arab Quraisy untuk beriman kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Arab Quraisy berkata: " Hai Muhammad, adakah engkau mahu membuat tuhan-tuhan yang banyak menjadi satu ? Sungguh aneh! " .
Mereka kemudian berkata sesama sendiri: "Dia (Nabi Muhammad SAW) tidak akan dapat memberikan sesuatu yang kita inginkan. Marilah kita terus bertahan terhadap agama nenek moyang kita."
Abu Talib pada ketika itu, berada di tempat yang sama dan beliau berkata: "Anakku, demi Allah, aku berpendapat permintaanmu itu tidak berlebih-lebihan!" .
Ucapan Abu Talib ini membuatkan baginda Nabi Muhammad SAW berfikir bahawa bapa saudaranya sudah bersedia untuk mengucap kalimah syahadah.
Justeru, baginda berkata: " Bapa saudaraku, ucapkanlah kalimat itu (syahadah). Dengan kalimat itu, akanku mohonkan syafaat kepada Allah untukmu."
Dengan suara yang terputus-putus, Abu Talib menjawab: " Anakku, demi Allah, kalau bukan kerana aku khuatir orang Quraisy akan mencemuhku tentu kalimat itu sudah kuucapkan."
Secara ringkasnya, ada beberapa alasan untuk menyingkirkan salahfaham terhadap keimanan Abu Talib.
1. Abu Talib menolak dan tidak membenarkan kaum musyrikin Quraisy menyakiti Nabi Muhammad bahkan beliau mendukung, membenarkan , membela dan melindungi dakwah tauhid yang diperintahkan Allah kepada RasulNya, Nabi Muhammad SAW.
2. Abu Talib membela prinsip tauhid dan para penganutnya sehingga beliau perlu menghadapi tentangan yang kuat sepertimana yang dihadapi oleh orang yang menyatakan keimanan.
3. Abu Talib tegas menyatakan Nabi Muhammad SAW tidak berdusta dan membenarkan semua yang dikatakan oleh baginda SAW.
Demikianlah serba sedikit perihal keimanan Abu Talib. Sekiranya saudara dan saudari berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut boleh dapatkan buku Riwayat Kehidupan Nabi Besar SAW di booth kami sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan datang !
Sesungguhnya, janganlah kita menyakiti hati Nabi Muhammad SAW dengan menyakiti hati ahli keluarga baginda. Bagindalah, pengharapan kita di Akhirat kelak. Bagindalah yang akan memberi syafaat di Akhirat kelak.
Justeru, mari kita bersama menuju Mahabbah Rasulullah untuk mendapat cinta dan redha Allah .
Sekian.